Monday 25 April 2011

Harga Remaja

Berapa sebenarnya harga remaja
Yang bersih
Dari gelodak kecewa
Bagai kehijauan daun
Bagai kesegaran pohon
Di pinggir perjalanan ini ?

Dengan apakah akan kaupenuhi
Piala remajamu ?
Adakah cuka kesangsian
Dari cinta murah
Atau madu ajaran
Dari ilmu susah

Remaja amat mahal
Sesungguhnya
Tiada terbeli oleh perjanjian
Harga remaja adalah pendirian
Keberanian dan ilmu

Penuhilah remajamu
Dengan ketentuan tuju

Maksud

Rangkap Satu
Pertanyaan tentang harga remaja yang tidak mengalami kekecewaan

Rangkap Dua
Pertanyaan tentang kewajaran remaja menerima kesusahan, iaitu sama ada disebabkan perasaan cinta yang belum masanya atau ilmu yang ditimba selama ini

Rangkap Tiga
Remaja amat berharga dan tidak dapat dibandingkan dengan perjanjian dalam percintaan yang belum masanya. Remaja yang baik ialah remaja yang berani dan memiliki ilmu

Rangkap Empat
Remaja hendaklah mengetahui arah tuju hidupnya

Tema

Ketinggian nilai remaja yang berilmu

Persoalan

(a) Kekecewaan golongan remaja
(b) Percintaan remaja semasa usia muda
(c) Berani menempuh pelbagai cabaran dan mencuba sesuatu yang baharu
(d) Keyakinan diri dalam melakukan sesuatu tindakan dan teguh pendirian
     demi melangkah arah tuju yang diingini
(e) Menimba ilmu tanpa had sebagai bekalan masa hadapan yang cemerlang

Nilai

(a) Rajin
(b) Berani
(c) Gigih berusaha
(d) Bijaksana
(e) Bercita-cita tinggi

Pengajaran

(a) Remaja hendaklah menjaga diri agar tidak mengalami kekecewaan
(b) Elakkan bercinta sewaktu masih remaja kerana tidak membawa faedah
(c) Remaja hendaklah menjadi golongan yang cinta akan ilmu
(d) Remaja perlu bersikap berani kerana benar

Wednesday 20 April 2011

Lagu Negaraku

Pertemuan dan perpisahan

Jam 7.30 pagi tadi, PK 1 Pn Tay ada menelefon dari sekolah, minta hadir ke sekolah hari Sabtu ni untuk mengambil kertas ujian yang perlu ditanda. Sambil itu, katanya ada jamuan perpisahan untuk Tn. Hj. Shaharuddin Shaari, ayahanda pengetua yang akan meneruskan khidmat bakti di JPNJ. Begitulah hidup ini, setiap pertemuan ada perpisahan. Kepada Tn. Hj. Shaharuddin, selamat kembali ke JPNJ, semoga tuan akan terus maju jaya. Terima kasih atas segala bimbingan dan teguran sepanjang tuan berada di SMK Desa Skudai.

Salam perkenalan...

Hari ini merupakan kali pertama saya belajar membuat laman blog dalam Kursus Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran BM TMK Sekolah Menengah di Bawah Program Memartabatkan Bahasa Melayu (MBM) di IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka. Banyak ilmu baru yang dapat ditimba sepanjang sebulan berada di IPG ini.