Berapa sebenarnya harga remaja
Yang bersih
Dari gelodak kecewa
Bagai kehijauan daun
Bagai kesegaran pohon
Di pinggir perjalanan ini ?
Dengan apakah akan kaupenuhi
Piala remajamu ?
Adakah cuka kesangsian
Dari cinta murah
Atau madu ajaran
Dari ilmu susah
Remaja amat mahal
Sesungguhnya
Tiada terbeli oleh perjanjian
Harga remaja adalah pendirian
Keberanian dan ilmu
Penuhilah remajamu
Dengan ketentuan tuju
Maksud
Rangkap Satu
Pertanyaan tentang harga remaja yang tidak mengalami kekecewaan
Rangkap Dua
Pertanyaan tentang kewajaran remaja menerima kesusahan, iaitu sama ada disebabkan perasaan cinta yang belum masanya atau ilmu yang ditimba selama ini
Rangkap Tiga
Remaja amat berharga dan tidak dapat dibandingkan dengan perjanjian dalam percintaan yang belum masanya. Remaja yang baik ialah remaja yang berani dan memiliki ilmu
Rangkap Empat
Remaja hendaklah mengetahui arah tuju hidupnya
Tema
Ketinggian nilai remaja yang berilmu
Persoalan
(a) Kekecewaan golongan remaja
(b) Percintaan remaja semasa usia muda
(c) Berani menempuh pelbagai cabaran dan mencuba sesuatu yang baharu
(d) Keyakinan diri dalam melakukan sesuatu tindakan dan teguh pendirian
demi melangkah arah tuju yang diingini
(e) Menimba ilmu tanpa had sebagai bekalan masa hadapan yang cemerlang
Nilai
(a) Rajin
(b) Berani
(c) Gigih berusaha
(d) Bijaksana
(e) Bercita-cita tinggi
Pengajaran
(a) Remaja hendaklah menjaga diri agar tidak mengalami kekecewaan
(b) Elakkan bercinta sewaktu masih remaja kerana tidak membawa faedah
(c) Remaja hendaklah menjadi golongan yang cinta akan ilmu
(d) Remaja perlu bersikap berani kerana benar
No comments:
Post a Comment